‘Tanya soalan cerdik, saya jawab’, Gobind tempelak Fadhli

‘Tanya soalan cerdik, saya jawab’, Gobind tempelak Fadhli

Menteri Gobind Singh Deo saran Ahmad Fadhli Shaari meneliti Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum mengajukan soalan di Dewan Rakyat.

gobind singh n fadhli shaari
Gobind Singh Deo sedia bertemu Ahmad Fadhli Shaari untuk menerangkan isu digital negara berkait Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat.
KUALA LUMPUR:
Menteri Digital Gobind Singh Deo menempelak Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) seolah-olah memberikan “kunci digital” negara kepada pihak luar.

Gobind meminta wakil rakyat PAS itu meneliti kandungan perjanjian itu sebelum mengemukakan persoalan, sambil menyarankannya mengajukan soalan yang lebih ‘cerdik’.

“Saya rasa cukuplah. Saya sokong Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), politik ada hadnya.

“Kita nak buat baik untuk negara. Jadi baca betul-betul dokumen itu dan tanya soalan cerdik. Saya boleh jawab,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Fadhli dalam soalannya mendakwa perjanjian ART tidak mengandungi klausa khusus menjamin transformasi kecerdasan buatan (AI) selain menimbulkan kebimbangan Malaysia akan terikat untuk mendapatkan persetujuan AS sebelum berunding dengan negara lain.

“Adakah kerajaan benar-benar mahu menjadikan Malaysia negara AI menjelang 2030, sedangkan ada beberapa perkara dalam ART, seolah-olah memberikan kunci digital kepada negara lain dan menjadikan Malaysia sebagai makmal uji kaji?” soalnya.

Mengulas lanjut, Gobind berkata beliau bersedia bertemu Fadhli untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu pada bila-bila masa.

“Kita sekarang memerintah Malaysia. Kita faham kedaulatan,” katanya.

Sebelum ini, blok pembangkang turut membangkitkan dakwaan bahawa kandungan ART boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.