Warga emas buta rugi lebih RM400,000 akibat ‘phone scam’

Warga emas buta rugi lebih RM400,000 akibat ‘phone scam’

Polis berkata mangsa meminta isterinya membuka akaun bank baharu, sebelum memasukkan semua wang simpanan dirinya serta isteri ke akaun itu.

scammers
Polis berkata pesara itu dihubungi sindiket penipuan mendakwa beliau pernah membuat tuntutan rawatan di sebuah hospital di Damansara dan terbabit ke pengubahan wang haram.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas cacat penglihatan kerugian lebih RM400,000 diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau “phone scam”.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pesara berusia 73 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 1.58 tengah hari semalam memaklumkan beliau dihubungi individu tidak dikenali memaklumkan dari sebuah syarikat insurans pada 3 petang 24 Jun lalu.

Menurutnya, mangsa menafikan pernah membuat tuntutan rawatan di sebuah hospital di Damansara, Kuala Lumpur seperti didakwa suspek.

“Sindiket meminta mangsa membuat laporan polis kononnya mengesyaki ada individu lain menyalahgunakan namanya.

“Selepas itu, talian kononnya disambungkan kepada individu mengaku dirinya polis dan mangsa membuat laporan dalam talian,” katanya menurut Berita Harian.

Azli berkata, sindiket itu kononnya membuat semakan atas nama mangsa dan memaklumkan namanya terbabit kes pengubahan wang haram.

Untuk menyelesaikan kes itu, beliau berkata, mangsa diminta membuka akaun bank baharu dan memasukkan semua wang simpanan ke akaun itu bagi tujuan siasatan untuk memastikan sama ada wang dan aset mangsa dari sumber haram atau sebaliknya.

Katanya, mangsa kemudian meminta isterinya membuka satu akaun bank baharu memandangkan dirinya uzur dan cacat penglihatan, sebelum memasukkan semua wang simpanan dirinya serta isteri ke akaun terbabit.

Menurutnya, suspek turut meminta mangsa tidak menggunakan akaun baharu itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan wangnya tidak dipulangkan.

“Pada 25 Sept lalu, mangsa memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang memberitahu mangsa ia adalah penipuan.”

Azli berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas semakan ke atas akaun bank baharu itu mendapati beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM431,742 dibuat dari 6 Julai hingga 14 Ogos lalu ke akaun individu tidak dikenali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.