
Chow menjelaskan cuti 11 hari bermula 22 Jul hingga 5 Ogos depan itu diluluskan olehnya selepas Jagdeep memohonnya untuk menjalani pemeriksaan pakar dan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kirinya.
“Berhubung spekulasi bahawa akan berlakunya pertukaran jawatan yang disandang beliau kini, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.
“Saya dan seluruh jentera barisan kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang mendoakannya cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri demi kepentingan seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, The Star yang memetik sumber melaporkan ahli exco tertentu mula bercuti selepas dinasihatkan berbuat demikian, agar beliau boleh selesaikan masalah peribadi.
Tanpa menamakan individu itu, laporan itu berkata isu peribadi itu memberi kesan kepada beliau menjalankan tugasnya sebagai exco.
Jagdeep dilantik sebagai timbalan ketua menteri, di samping Adun Batu Maung, Mohamad Abdul Hamid, pada Ogos menyusuli PRN.
Beliau memegang portfolio modal insan, sains dan teknologi.