
Loke Siew Fook, yang juga menteri pengangkutan, berkata ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana syarikat minuman keras membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak puluhan tahun lalu.
“Syarikat minuman keras menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina berlaku sejak 30 tahun lalu dan saya juga pernah menghadiri majlis itu.
“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu,” katanya lapor Berita Harian.
Isu sumbangan sekolah tercetus susulan penularan gambar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu hadir dalam satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.
Aiman yang juga Ahli Parlimen Sepang menjelaskan sebagai tetamu diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Semalam, KPM mengingatkan pentadbir institusi pendidikan mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
Ini termasuk larangan menerima sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Hari ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Fadhlina berkata semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat.