Pelajar imbau pengalaman seram di Bangladesh sebelum dibawa pulang

Pelajar imbau pengalaman seram di Bangladesh sebelum dibawa pulang

Syazanna Amira Said berkata dia nampak beberapa bas terbakar ketika dalam perjalanan ke kedutaan dan lapangan terbang.

Ahli keluarga bersatu semula di KLIA apabila rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari Bangladesh yang dilanda tunjuk perasaan. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Hari-hari yang menyusuli pertempuran antara pasukan keselamatan Bangladesh dan penunjuk perasaan sehingga kerajaan negara itu mengenakan perintah berkurung dan mengerahkan askar merupakan pengalaman yang mengganggu perasaan Syazanna Amira Said, seorang pelajar perubatan di Kolej Mymensingh.

Wanita berusia 28 tahun itu berkata tuan rumahnya menggesa dia meninggalkan Bangladesh kerana tunjuk perasaan ketika ini tidak seperti himpunan-himpunan sebelum ini.

“Saya nampak beberapa bas terbakar ketika dalam perjalanan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan ke lapangan terbang.

“Suasana amat menyeramkan. Askar bersenjata berkawal di luar rumah sewa dan saya takut mereka akan tembak sesiapa sahaja yang mereka nampak,” katanya ketika ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, selepas tiba dari Bangladesh.

Terdahulu dilaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan penerbangan khas untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Bangladesh.

Kerajaan Bangladesh mengisytiharkan dua hari lalu sebagai ‘cuti umum’ dengan hanya perkhidmatan kecemasan dibenarkan beroperasi, berikutan tunjuk perasaan di negara itu.

Reuters melaporkan Mahkamah Agung Bangladesh semalam memansuhkan kebanyakan kuota bagi jawatan-jawatan kerajaan, namun penganjur berkata tunjuk perasaan akan diteruskan.

Syazanna berkata keadaan yang menyeramkan bertambah runcing apabila perkhidmatan internet di negara itu tiba-tiba terhenti.

“Kami terus hubungi kedutaan untuk bertanyakan apa yang patut kami lakukan kerana takut terputus hubungan,” katanya, dan menambah dia dan rakan mengendalikan komunikasi antara pelajar dan kedutaan.

“Kami akan bertanya soalan setiap hari, dan tidak tidur pada waktu malam kerana kedutaan akan hubungi pada bila-bila masa, jadi kami terpaksa tidur bergilir-gilir.”

Syazanna berasa amat lega apabila mendarat di tanah air.

“Di sini lah tempat yang paling selamat,” katanya.

Sementara itu, adik-beradik, Haziq dan Hazim Shukor, yang juga pelajar perubatan berkata gangguan internet di kawasan mereka menyukarkan mereka menghubungi ibu mereka.

“Kualiti suara teruk dan tidak jelas. Jika tidak dapat buat panggilan, kami akan cuba hantar SMS,” katanya.

Haziq berkata mereka berdua lega dapat pulang ke tanah air.

Ibu mereka, Nor Hamimi Harun, berkata dia akan periksa keadaan anak-anaknya setiap enam jam bagi memastikan keselamatan mereka di sana.

“Saya gembira dapat peluk anak-anak,” katanya sambil berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membawa pulang anak-anaknya dengan selamat.

Syazanna, Haziq dan Hazim antara 123 rakyat yang tiba dari Bangladesh, ketika negara itu dilanda tunjuk perasaan, yang menyaksikan hampir 150 orang terkorban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.