
Saifuddin berkata ketika ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen sedang memperhalusi pelaksanaan pengeluaran pasport itu daripada pelbagai aspek.
“Kami sedang perhalusi, kini fasa akhir…dan akan usahakan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 Dataran Pahlawan, Putrajaya.
Pada 12 Julai lalu, Saifuddin berkata KDN bersedia mengeluarkan pasport bagi tempoh sah laku selama 10 tahun dan tarikh pelaksanaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas kajian mengenai perkara itu selesai dijalankan.
Katanya, pasport itu membolehkan rakyat negara ini mempunyai pilihan sama ada menggunakan pasport tempoh sah lima atau 10 tahun.
Sementara itu, Saifuddin turut menasihatkan orang ramai yang ingin memohon pasport secara atas talian untuk mematuhi setiap arahan dan syarat yang diberikan bagi mengelak permohonan mereka ditolak.
Beliau berkata, kebanyakan aduan yang diterima oleh Jabatan Imigresen berkaitan passport adalah mengenai masalah permohonan atas talian.
Sebagai contoh, kata Saifuddin, ramai mengadu syarat dan kriteria untuk gambar pasport terlalu rumit sehingga menyukarkan mereka untuk membuat permohonan.
“Imigresen bukan sebarangan letak kriteria (gambar) itu, ia adalah standard antarabangsa. Kalau kita permudahkan proses, ala kadar dan keluarkan pasport dan ia akan datangkan masalah pada rakyat yang ke luar negara nanti.
“Saya menggesa orang ramai yang memohon pasport atas talian bersabar, kita perlu patuh SOP antarabangsa terutamanya dari sudut keselamatan,” katanya.
Saifuddin berkata tempoh pengeluaran pasport untuk mereka yang hadir sendiri ke pejabat Imigresen kini hanya mengambil masa 60 minit, iaitu antara yang terpantas di dunia.