
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata dakwaan itu dikesan di media sosial sejak 7 Ogos lalu menerusi satu video menunjukkan pertemuan sepasang suami isteri dengan pemilik akaun media sosial terbabit.
“Pasangan itu mendakwa membayar RM5,000 kepada individu bergelar Datuk untuk memohon PLKS bagi membebaskan adik mereka yang ditahan di depot.
“Walaupun bayaran dibuat dan imbasan kod QR pada permit kerja wujud dalam sistem, adik mereka masih belum dibebaskan malah janji kononnya boleh dilepaskan di mahkamah juga tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sinar Harian.
Menurutnya, semakan dengan pemilik akaun berkenaan mendapati ePass yang ditunjukkan disyaki palsu kerana kod QR telah diubah suai manakala semakan silang melalui sistem MyIMMs menggunakan nombor pasport menunjukkan tiada rekod PLKS.
Tegasnya, semua urusan imigresen hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi di kaunter jabatan atau secara dalam talian di portal rasmi.
“Tiada pegawai atau pihak ketiga dibenarkan menguruskan permohonan di luar prosedur,” tegasnya.
Beliau turut meminta pihak yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan supaya segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik jabatan atau memperdaya orang awam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca penyalahgunaan maklumat dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat,” katanya.