
Ketua Pengarah Zakaria Shaaban berkata, operasi 9.40 pagi itu dijalankan hasil risikan selama tiga minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.
Seramai lima lelaki warga Bangladesh berusia 19 hingga 41 tahun turut ditahan dalam operasi itu.
“Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, seorang memiliki pas pelajar dan seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen sah,” katanya dalam sidang media Operasi Khas Imigresen.
Turut dirampas lapan pasport Bangladesh dan satu India termasuk pasport palsu dari Bangladesh dan Indonesia.
Selain itu, terdapat juga muka surat dan kulit pasport dari pelbagai negara lain termasuk Myanmar dan Pakistan.
JIM turut menyita komputer, pencetak, dakwat, alat pemotong kertas, 11 telefon bimbit, wang tunai RM2,100 serta sebuah Perodua Aruz yang dipercayai digunakan sindiket berkenaan.
“Terdapat juga naskhah pasport pelbagai negara antaranya Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia yang belum sempat diproses. Maksudnya bahan masih lagi dalam bentuk material yang belum dijadikan pasport,” katanya.
Mengulas mengenai modus operandi, Zakaria berkata, pasport palsu yang diproses itu akan digunakan oleh warga asing yang mungkin lagi tidak berupaya bekerja namun perlu lulus Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).
“Jadi dia (sindiket) akan mencetak pasport palsu bagi pihak orang lain, orang yang sepatutnya itu (pergi) dia tidak pergi buat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran RM150 hingga RM250 bagi setiap pasport palsu dan sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
Semua yang ditahan disiasat bawah Seksyen 56 (1) (I) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.