MB Johor minta bantu kesan budak hilang di Eco Galleria

MB Johor minta bantu kesan budak hilang di Eco Galleria

Albertine Leo Jia Hui itu disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu ketika berada di pusat membeli belah berkenaan.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata kanak-kanak itu Albertine Leo Jia Hui, disedari hilang oleh bapanya ketika berada di pusat membeli belah berkenaan.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Onn dalam satu hantaran di Facebook malam tadi meminta orang ramai yang menemui kanak-kanak itu atau mempunyai maklumat supaya segera melaporkan di balai polis berhampiran.

“Saya menerima laporan berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang akibat terpisah daripada keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak itu. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak itu membuat laporan segera di balai polis berhampiran.

“Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Semalam tular, kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui itu disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu ketika berada di pusat membeli belah berkenaan.

Difahamkan, lokasi pusat perniagaan itu sedang berlangsung festival Maqan x Bon Odori selama tiga hari yang disertai bapa kanak-kanak itu yang juga seorang peniaga.

Terdahulu, Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120cm dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Katanya, kanak-kanak berkenaan memakai baju T putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan seluar pendek.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai kedudukan kanak-kanak itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Ridzuan Abd Hadi di talian 017-7051097 atau talian hotline IPD Iskandar Puteri 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.