Hukuman lebih berat, pendidikan penting bagi bendung rasuah, kata pakar

Hukuman lebih berat, pendidikan penting bagi bendung rasuah, kata pakar

Mengejar kehidupan mewah dalam kalangan belia menyebabkan ramai terjebak dengan amalan rasuah, kata Transparency International Malaysia.

Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan berkata sebilangan belia memilih jalan pintas dalam mengejar kemewahan, daripada bekerja keras, berjimat cermat dan membina masa depan yang cerah.
PETALING JAYA:
Hukuman lebih berat dan fokus kepada pendidikan adalah penting untuk membendung amalan rasuah dalam kalangan belia, menurut pakar.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata kerajaan harus meminda undang-undang untuk memperuntukkan hukuman penjara yang lebih lama manakala ahli akademik Mushtak Al-Atabi berkata kajian kes adalah kunci menjadikan pelajar dapat melihat kesan rasuah dengan lebih jelas.

Muhammad berkata terdapat kes di mana pesalah hanya dihukum penjara kurang sebulan walaupun disabitkan mencuri berjuta-juta ringgit.

“Undang-undang antirasuah ketika ini mesti dipinda untuk memberikan hukuman yang lebih ketat,” katanya kepada FMT.

Akta Pencegahan Rasuah 1997 memperuntukkan hukuman yang lebih berat berbanding penggantinya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Akta Pencegahan Rasuah mewajibkan hukuman penjara selama 14 hari hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah yang terlibat atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Akta SPRM juga menyediakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda yang sama jumlahnya tetapi tidak menyediakan hukuman penjara minimum.

“Keadaan itu menyebabkan, orang yang disabitkan kesalahan mungkin hanya menjalani hukuman sehari dalam penjara,” kata Muhammad.

Bulan lalu, SPRM menyatakan kebimbangan mengenai jumlah belia terlibat dalam amalan rasuah seperti suapan, pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu.

Pengarah bahagian pendidikan masyarakatnya, Nazli Rasyid Sulong, berkata 2,332 individu berusia 16 hingga 40 tahun ditangkap dalam tempoh lima tahun lepas atas pelbagai kesalahan rasuah.

Muhammad berkata belia kini memilih jalan pintas dalam usaha mereka untuk hidup mewah daripada bekerja keras, berjimat cermat dan membina masa depan yang cerah.

“Trend ini banyak dipengaruhi oleh media sosial, yang mengangkat gaya hidup mewah hingga mempengaruhi ramai belia mengambil risiko, sehingga menjejaskan integriti mereka,” tambahnya.

Muhammad berkata budaya integriti dan kebertanggungjawapan sangat kurang dalam kalangan belia.

“Hari ini, rasuah berakar umbi dalam masyarakat dan langkah antirasuah yang tidak berkesan, ditambah pula dengan kronisme antara pemimpin politik dan perniagaan, telah menormalkan rasuah. Orang muda menganggap ini sebagai cara hidup yang sepatutnya,” katanya.

Untuk menangani punca-punca ini, Muhammad mencadangkan agar negara kembali kepada asas dan mengukuhkan sistem nilai yang lemah dalam kalangan belia.

Beliau berkata proses ini perlu bermula dengan ibu bapa yang boleh menyampaikan nilai-nilai etika asas kepada anak-anak mereka di rumah, diikuti oleh guru-guru di peringkat rendah dan menengah.

“Tanpa asas ini, akan terlalu sukar untuk memupuk nilai-nilai baik dan integriti dalam kalangan belia,” katanya.

Mushtak, yang merupakan provos dan CEO Universiti Heriot-Watt Malaysia, berkata menjemput penyiasat kes rasuah untuk memberi ceramah kepada pelajar adalah satu lagi strategi untuk memupuk nilai-nilai baik dari awal.

“Guru juga perlu mengetahui sejauh mana rasuah dan kesan buruknya terhadap ekonomi dan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata guru mesti mengembangkan kemampuan untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang mendalam dan memberi pengalaman supaya pelajaran yang mereka sampaikan dapat difahami dan diingati.

“Dengan cara ini, guru boleh memberi pengalaman yang benar-benar mengubah fikiran pelajar,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.