
Kementerian Kewangan memiliki 64.45% kepentingan dalam THHE melalui anak syarikat milik penuhnya, Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Dalam award itu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur Eswary Maree berkata:
“Dua individu hadir di mahkamah ini dan memohon untuk tampil bagi pihak syarikat (THHE). Apabila disoal oleh mahkamah ini, individu-individu ini mengaku bahawa bukan pekerja syarikat tetapi daripada anak syarikat.”
Mendapati mereka “tidak mempunyai kuasa dan tiada locus standi untuk tampil bagi pihak syarikat”, Eswary terus mendengar kes itu secara ex-parte. Beliau berkata Seksyen 29(d) Akta Perhubungan Perusahaan membenarkan mahkamah meneruskan pendengaran tanpa kehadiran THHE.
Dalam award bertarikh 3 Julai, Eswary juga menyatakan bahawa Persekutuan Majikan Malaysia pada 11 Mac – dua minggu sebelum tarikh perbicaraan – menulis kepada mahkamah untuk memaklumkan bahawa mereka tidak lagi mewakili THHE dalam prosiding itu.
Eswary seterusnya mengumumkan award yang memihak kepada pihak yang membuat tuntutan, Abdul Malik Abdul Rahim, iaitu pengurus besar kewangan kumpulan THHE, selepas mendapati beliau dipecat secara konstruktif oleh syarikat itu pada 3 Mac 2022.
Eswary berkata, penuntut berhak menganggap dirinya dibuang kerja selepas THHE mengenakan dua pemotongan gaji secara unilateral, gagal membayar kepadanya bagi kerja tambahan yang dijalankan, menurunkan pangkatnya, dan melarang atau mengecualikannya daripada menjalankan tugasnya.
Beliau berkata kelakuan syarikat itu melanggar syarat asas kontrak pekerjaan si penuntut.
Merujuk kepada hujah THHE terhadap tuntutan itu, Eswary berkata: “Mahkamah ini juga mendapati kebergantungan syarikat kepada pandemik (Covid-19), status PN 17, dan industri minyak dan gas yang kian meruncing sebagai justifikasi bagi tindakannya terhadap si penuntut adalah tidak munasabah kerana ini bukan kes pemberhentian kerja.
“Mahkamah ini mendapati pihak syarikat tidak dapat membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa pemecatan si penuntut itu dengan sebab atau alasan yang munasabah,” menurut award itu.
Eswary memberikan kepada si penuntut gaji tunggakan sebanyak 24 bulan, tertakluk kepada potongan 30% bagi pendapatan selepas pemecatan, berjumlah RM310,800.
Dia juga diberi ganti rugi RM129,500 sebagai ganti kepada pengembalian jawatan, iaitu gaji satu bulan sebanyak RM18,500 bagi tujuh tahun perkhidmatannya dengan syarikat itu.
Si penuntut, yang menyertai THHE sebagai pengurus kanan perakaunan kewangan pada 2014, sebelum naik ke jawatan pengurus besar kewangan kumpulan empat tahun kemudian, menganggap dirinya dipecat secara konstruktif selepas THHE gagal menjawab tiga surat bantahannya.
“Beliau juga menyatakan bahawa aksesnya kepada e-mel, folder kongsi (shared folder) dan sistem lain telah disekat tanpa pengetahuan atau persetujuannya. Dalam keadaan itu, si penuntut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan selain menganggap dirinya dipecat secara konstruktif,” katanya.
Eswary juga mengambil maklum daripada keterangan si penuntut bahawa jabatan undang-undang THHE pada 2021 enggan bekerjasama dengannya untuk memuktamadkan akaun syarikat yang telah diaudit. Katanya, beliau juga dikecualikan daripada mesyuarat exco yang dihadirinya sebelum ini.
Beliau berkata, si penuntut beberapa kali membuat bantahan melalui notis terhadap pemotongan gaji dan penurunan pangkat. “Walaupun diberi notis, pihak syarikat gagal membetulkan pelanggaran yang diadukan.”
Eswary berkata, berdasarkan kelakuan pihak syarikat, pihak yang membuat tuntutan berjaya membuktikan bahawa beliau dipecat secara konstruktif.
“Kelakuan syarikat melanggar syarat asas kontrak pekerjaan yang telah merosakkan keyakinan dan kepercayaan antara mereka,” katanya, sambil menambah bahawa ia “tidak boleh diterima dan tidak adil.”
Aneera Joshini Chowdhury tampil bagi pihak yang membuat tuntutan.
THHE mengalami pembubaran sukarela pada September tahun lepas.
Pada 2 Feb lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan tiga pemiutang syarikat memulakan prosiding pembubaran wajib.
Pada 27 Mei lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan ketiga-tiga pemiutang melantik penerima rasmi sebagai penyelesai hutang-piutang interim THHE dan mengambil alih semua aset dan harta syarikat.