Pengarah THHE tak layak cabar petisyen penggulungan, kata mahkamah

Pengarah THHE tak layak cabar petisyen penggulungan, kata mahkamah

Mahkamah Tinggi berkata tiga pengarah hilang kelayakan menentang petisyen itu selepas serah kuasa urus TH Heavy Engineering kepada penyelesai interim bersama.

Mahkamah KL
Mahkamah Tinggi menolak permohonan dibawa tiga pengarah untuk campur tangan dan membantah petisyen penggulungan, yang disifatkan mahkamah sebagai cacat dan tiada asas perundangan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa bekas pengarah TH Heavy Engineering Bhd (THHE) tidak mempunyai kedudukan perundangan membantah petisyen difailkan tiga pemiutang bagi menukar status penggulungan sukarela pemiutang (CVL) kepada perintah penggulungan oleh mahkamah.

Tiga bekas pengarah THHE diketuai Jauhari Hamidi telah memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan mereka masih mempunyai kuasa baki— sama ada secara individu mahupun bersama — untuk membantah petisyen penggulungan difailkan Global Mariner Offshore Services Sdn Bhd bersama dua lagi pemiutang.

Namun, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad, menolak permohonan berkenaan dan memerintahkan kos dibayar secara peribadi oleh mereka.

Dalam alasan penghakiman bertulis disampaikan minggu lalu, mahkamah menyatakan kuasa pengarah sesebuah syarikat akan terlucut sebaik sahaja seorang penyelesai dilantik.

Pada 2017, THHE, diklasifikasi sebagai syarikat PN17, menunjukkan syarikat itu berada dalam keadaan tenat kewangan.

Pada September 2023, lembaga pengarahnya memulakan proses CVL, yang menyaksikan pelantikan penyelesai interim bersama.

Pegawai bersama mengambil alih pada Mei tahun lalu selepas penyelesai interim bersama melepaskan jawatan mereka.

“Selepas secara sukarela menyerahkan kuasa mereka untuk menguruskan syarikat kepada penyelesai interim bersama, (pengarah-pengarah) kini tidak boleh mendakwa mempunyai kuasa baki membantah petisyen yang hanya akan meletakkan proses penyelesaian itu di bawah penyeliaan mahkamah,” kata Atan.

Hakim memutuskan mengikut Seksyen 440(2) dan 476(2) Akta Syarikat 2016, seorang penyelesai interim diberi ‘setiap fungsi dan kuasa’ yang diperuntukkan kepadanya di bawah akta berkenaan.

“Peruntukan ini, jika dibaca secara bersama, menunjukkan seorang penyelesai interim mempunyai kuasa yang asasnya sama seperti penyelesai tetap, termasuk kuasa menentukan sama ada mahu membantah atau tidak membantah petisyen tersebut,” kata Atan.

Hakim menerima bahawa pengarah mungkin, dalam keadaan tertentu yang terhad, masih mengekalkan sebahagian kuasa baki selepas seorang penyelesai dilantik.

“Namun, berdasarkan autoriti yang sedia ada, kuasa baki tersebut terhad dan hanya terpakai dalam keadaan tertentu,” katanya sambil memutuskan kuasa itu tidak meliputi hak membantah petisyen bagi menukar CVL kepada penyelesaian melalui perintah mahkamah.

Bersandarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Zaitun Marketing Sdn Bhd lwn Boustead Eldred Sdn Bhd (2010), Atan berkata, pengarah sesebuah syarikat bukan pihak dalam prosiding penyelesaian, melainkan mereka layak sebagai pemiutang atau sertaan.

Hakim turut memutuskan sebarang ‘kuasa baki’ yang didakwa wujud perlu dilaksanakan secara kolektif oleh lembaga pengarah — bukan secara unilateral seperti dilakukan Jauhari, apabila beliau melantik peguam tanpa sebarang ketetapan lembaga yang memberi kuasa kepadanya.

Atan turut mendapati permohonan pengarah berkenaan cacat dari segi prosedur dan tidak mempunyai ‘asas perundangan kukuh’, selain gagal mematuhi keperluan mandatori mengikut Perkara 7 Kaedah-kaedah (Penggulungan) Syarikat 1972.

“Lebih penting lagi, (permohonan) tidak mempunyai sebarang asas perundangan kukuh di bawah Akta Syarikat 2016 sama ada Seksyen 517 mahupun Seksyen 486(2) yang tidak terpakai dalam keadaan dikemukakan,” katanya.

Global Mariner, Boomslang Technology Sdn Bhd, dan Dynac Sdn Bhd memfailkan petisyen penggulungan pada Februari tahun ini, atas alasan THHE tidak mampu membayar hutangnya.

Pada 27 Mei, Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen tersebut.

Ketiga-tiga pemiutang tersebut memegang secara kolektif 76.8% daripada jumlah keseluruhan hutang THHE, dengan Global Mariner berhak menuntut ganti rugi USD63.42 juta susulan keputusan mahkamah sebelum ini berhubung pertikaian antara pemegang saham.

Pempetisyen diwakili David Mathews, Olivia Loh, Koh Jo Vin, dan Lai Ann Xing, manakala pengarahnya diwakili Wajdi Mohamad & Hajar Mardhiah.

Joyce Pang hadir mewakili NSF Engineering selaku pemiutang penyokong, manakala Tay Li Sheng hadir mewakili Star Kris Services yang membantah petisyen berkenaan.

Wardah Nasuha Safian dari Jabatan Insolvensi hadir mewakili pegawai bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.