Mahkamah ambil alih gulung THHE atas alasan penyelesai memihak

Mahkamah ambil alih gulung THHE atas alasan penyelesai memihak

Dalam keputusan bersejarah, mahkamah putus penyelesai sementara tidak bersikap objektif dan tunjuk kecenderungan kepada pengarah THHE Engineering Berhad.

mahkamah kuala lumpur
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah THHE Engineering Berhad digulung, dengan kos RM150,000 dibayar kepada tiga pempetisyen diketuai Global Mariner Offshore Services Sdn Bhd melalui aset syarikat itu.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusan bersejarah, menukar proses penggulungan secara sukarela TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada penggulungan wajib di bawah seliaan mahkamah, susulan kebimbangan serius berhubung cara pelaksanaan proses itu sebelum ini.

“Ini berkemungkinan kali kedua permohonan seumpama ini dikemukakan,” kata Hakim Atan Mustapha Yussof Ahmad dalam penghakiman bertulis disampaikan baru-baru ini.

“Kes terdahulu telah diputuskan lebih seratus tahun lalu,” tambahnya merujuk kes Seremban General Agency pada 1923.

Hakim berkenaan mengemukakan alasan penghakimannya bagi membenarkan petisyen difailkan Global Mariner Offshore Services Sdn Bhd (GMOS) bersama dua pihak lain di bawah Seksyen 464(1) dan (2) Akta Syarikat 2016, serta bagi pelantikan penyelesai swasta.

GMOS menjadi pemiutang kepada THHE pada 21 Julai 2023, selepas memperoleh penghakiman berjumlah USD63.42 juta sebagai ganti rugi susulan pertikaian antara pemegang saham.

Secara bersama, GMOS bersama dua lagi pempetisyen—Boomslang Technology Sdn Bhd dan Dynac Sdn Bhd—memegang 76.8% daripada jumlah hutang keseluruhan THHE.

“Pelanggaran peruntukan statutori dalam proses penggulungan secara sukarela, konflik kepentingan melibatkan penyelesai sementara, keadaan meragukan yang menyelubungi penggulungan sukarela tersebut, serta keperluan mendesak untuk satu siasatan bebas — semuanya membawa kepada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan bahawa penggulungan wajib di bawah seliaan mahkamah menjadi suatu keperluan.”

“Keterangan dikemukakan mendedahkan aspek-aspek membimbangkan dalam proses penggulungan secara sukarela yang menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan dan ketelusan pelaksanaannya,” kata Atan dalam penghakiman setebal 58 halaman itu.

Ini termasuk konflik kepentingan yang timbul susulan pelantikan dua individu sebagai penyelesai sementara ketika proses penggulungan secara sukarela oleh pemiutang dimulakan pada 8 Sept 2023.

FMT tidak menzahirkan nama individu terlibat.

Atan berkata, timbul persoalan serius berkait kebebasan dua individu dilantik itu, memandangkan ‘hubungan jangka panjang mereka dengan Kumpulan THHE’. Kedua-duanya sebelum ini telah dilantik memberi nasihat mengenai pelan penstrukturan semula hutang yang digarap pada 2017 dan 2023.

Hakim berkenaan menyatakan penyelesai sementara telah memaparkan ‘kekurangan objektiviti serta kecenderungan yang memihak kepada pengarah-pengarah yang melantik mereka’.

Yang Arif mendapati, mereka gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap satu pengisytiharan keupayaan membayar hutang yang ‘mencurigakan’ oleh THHE Fabricators Sdn Bhd—iaitu anak syarikat kepada syarikat induk—selepas ia ‘menunjukkan perubahan ketara daripada defisit RM29.469 juta kepada lebihan RM10.525 juta dalam tempoh sebulan’.

Beliau turut menyatakan bahawa penyelesai sementara gagal meneliti dengan secukupnya transaksi antara syarikat, dan cenderung mempertahankan tindakan diambil pengarah syarikat, berbanding menjalankan siasatan secara berkecuali.

“Tingkah laku penyelesai sementara sepanjang proses penggulungan secara sukarela jelas menunjukkan niat mengekalkan kawalan, dan bukan sewajarnya memudahkan tadbir urus pemiutang,” menurut penghakiman itu lagi.

Atan turut mempersoalkan tindakan mereka dalam mesyuarat yang diadakan pada 4 Okt 2023, yang didakwa bahawa mereka telah ‘menafikan hak berkanun pemiutang memilih pengerusi dan mencalonkan penyelesai pilihan mereka sendiri’.

Beliau turut mengkritik cubaan mereka selepas itu untuk memulakan prosiding guaman memanggil mesyuarat baharu yang ‘dikawal selia mereka sendiri’.

“Tingkah laku mereka secara keseluruhan menunjukkan satu strategi disengajakan bagi menggagalkan hak pemiutang dan mengekalkan kedudukan mereka, bukannya bertindak demi kepentingan keseluruhan badan pemiutang,” kata hakim.

Atan turut merujuk kepada masa dan cara penggulungan secara sukarela itu dimulakan, dengan menyatakan ia ‘cukup (menunjukkan) adanya tujuan terselindung’.

Beliau menyifatkan dua permohonan skim difailkan sebelum ini sebagai ‘langkah taktikal melengahkan tindakan penguatkuasaan oleh pemiutang’, sambil menyatakan permohonan tersebut dikemukakan sejurus GMOS memperoleh penghakimannya.

Hakim turut menyimpulkan penggulungan secara sukarela itu telah dimulakan bagi menghalang sebarang cubaan oleh pemiutang menggulung syarikat tersebut secara wajib.

“Masa dan keadaan di sebalik tindakan itu menunjukkan syarikat berkenaan mungkin berusaha mengekalkan kawalan ke atas proses penggulungan dengan meletakkannya di bawah seliaan penyelesai pilihan mereka, berbanding mengambil risiko pelantikan penyelesai oleh mahkamah melalui prosiding penggulungan wajib,” kata Atan.

Hakim turut mendapati penciptaan kepentingan keselamatan sejurus sebelum penggulungan adalah sesuatu ‘amat membimbangkan’. ‘Pemilihan masa tersebut menunjukkan percubaan memberi keutamaan kepada pemiutang dan melindungi aset tertentu sebelum proses penggulungan bermula’.

“Keperluan bagi siasatan bebas merupakan alasan yang diiktiraf bagi menukar penggulungan secara sukarela kepada penggulungan wajib. Seorang penyelesai yang dilantik mahkamah, sebagai pegawai mahkamah, mungkin lebih berkemampuan melindungi kepentingan pemiutang,” kata Atan.

Mahkamah kemudian memerintahkan THHE digulung dan melantik pencalonan pempetisyen, iaitu Lim Tian Huat dan Chiang Teng Guan, sebagai penyelesai bersama dan secara berasingan bagi syarikat tersebut.

Mahkamah juga memerintahkan kos RM150,000 dibayar kepada pempetisyen daripada aset THHE.

Pemegang saham terbesar THHE ialah Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat pengurusan aset ditubuhkan Kementerian Kewangan pada 2010, bagi mengurus pelaburan Lembaga Tabung Haji yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Syarikat tersebut, yang dulu dikenali Ramunia Holdings Berhad, terlibat dalam kerja fabrikasi struktur minyak dan gas, perkhidmatan pembinaan serta perkhidmatan pengurusan.

Pada 2017, syarikat ini telah diklasifikasikan sebagai PN17 dan kemudiannya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia lima tahun selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.