Laporan dibuat terhadap Razali untuk bersih nama SPRM, mahkamah diberitahu

Laporan dibuat terhadap Razali untuk bersih nama SPRM, mahkamah diberitahu

Pegawai SPRM Adib Azami berkata, beliau tidak diarahkan oleh sesiapa untuk membuat laporan polis.

DATUK RAZALI IDRIS
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris didakwa menuduh kerajaan mengawal SPRM dan hakim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu Mahkamah Sesyen beliau membuat laporan polis terhadap pemimpin Bersatu Razali Idris untuk membersihkan nama agensi itu berhubung dakwaan ia dikawal oleh perdana menteri.

Adib Azami berkata, beliau melihat video TikTok menunjukkan ketua penerangan Bersatu itu mendakwa sedemikian ketika berkempen untuk PRK Kemaman pada November 2023.

“Dalam video itu, (Razali) turut ‘mempertikaikan’ keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes pecah amanah (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang saya dapati menghina.

“Saya salah seorang pegawai penyiasat dalam kes itu. Siasatan dilakukan dengan adil, tanpa campur tangan sesiapa.

“Kenyataan fitnah (terhadap SPRM) seperti itu akan melemahkan semangat (pegawai penyiasat),” katanya sambil menambah, kes Syed Saddiq itu mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk diselesaikan.

Razali dibicarakan atas satu tuduhan menghasut kerana didakwa mengeluarkan kenyataan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman.

Dia didakwa mempersoalkan perbezaan layanan yang diterima oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang dilepas tanpa dibebaskan atas 47 tuduhan rasuah, dengan sabitan pecah amanah Syed Saddiq.

Menjawab soalan peguam Razali, Awang Armadajaya Awang Mahmud, sama ada beliau membuat laporan itu bagi pihak SPRM atau menerima arahan daripada ketuanya untuk berbuat demikian, Adib berkata ‘tidak’.

Awang Armadajaya: Tiada sesiapa daripada kehakiman atau pejabat ketua pendaftar yang meminta anda berbuat demikian?

Adib: Tiada (sesiapa).

Peguam itu kemudian bertanya kepada Adib sama ada beliau tahu bahawa Razali hanya menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung sabitan Syed Saddiq.

“Saya tidak pasti (tentang ketidakpuasan hati Razali), tetapi apa yang dia katakan (bahawa ada campur tangan kerajaan dalam kes itu) salah.

“Kenyataan beliau mungkin memberi gambaran yang salah kepada orang ramai tentang sistem perundangan kita,” katanya.

Awang Armadajaya bertanya kepada Adib sama ada beliau atau SPRM menjalankan sebarang tinjauan atau penyelidikan untuk mengetahui sama ada masyarakat umum tidak berpuas hati dengan kes Syed Saddiq.

Adib menjawab ‘tiada’.

Dua pegawai polis – Raziman Ramli dan Zaidi Di – turut memberi keterangan hari ini.

Raziman memberitahu mahkamah, beliau dan pasukannya ditugaskan memantau lokasi Perikatan Nasional (PN) melancarkan acara PRK itu pada 10 Nov tahun lepas.

Lebih 5,000 orang hadir pada acara tersebut, katanya.

Razali turut diwakili Hasshahari Johari Mawi selaku peguam, dan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh tampil untuk pendakwaan.

Perbicaraan di depan hakim Siti Aminah Ghazali bersambung pada 27 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.