JPM cadang tubuh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah

JPM cadang tubuh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata, pertemuan akan diadakan dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta agensi berkaitan.

Na’im Mokhtar berkata, jawatan hakim syarie perlu diasingkan daripada perkhidmatan awam untuk memberi refleksi sebenar kepada Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Mahkamah Syariah setaraf mahkamah sivil. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan Akta Saraan Hakim Syarie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta agensi berkaitan berhubung perkara itu.

“Berkaitan Akta Saraan Hakim Syarie yang dipertegaskan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memang telah tiba waktunya penggubalan akta ini dibuat.

“Menjadi keperluan agar jawatan hakim syarie diasingkan daripada perkhidmatan awam bagi menaik taraf jawatan ini untuk memberikan refleksi sebenar kepada Perkara 121 (1A) yang meletakkan Mahkamah Syariah sebagai mahkamah setaraf mahkamah sivil, selain memastikan kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Anwar ketika merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia hari ini memberi komitmen kerajaan akan menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status hakim Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Na’im berkata, pihaknya akan memperbanyakkan penganjuran program kesedaran berkaitan undang-undang syariah kepada masyarakat beragama Islam dan bukan Islam.

“Ini amat penting untuk membina kefahaman serta menyerlahkan keadilan dan keindahan sistem kehakiman Islam.”

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi terlibat menjayakan konvensyen itu, antaranya Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.

Katanya, penganjuran konvensyen julung kali itu diharap dapat membuka ruang kepada pelbagai pihak memberikan pandangan dan cadangan ke arah memartabatkan sistem perundangan serta kehakiman syariah secara komprehensif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.