Pemuda tergelincir ketika memancing ditemukan lemas

Pemuda tergelincir ketika memancing ditemukan lemas

Kejadian berlaku pada kira-kira 5 petang ketika mangsa berusia 27 tahun memancing bersama anak saudara lelakinya.

lemas bagan lalang
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 6.20 petang dan dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, untuk bedah siasat. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam laut ketika memancing di Pantai Bagan Lalang semalam.

Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5 petang ketika mangsa berusia 27 tahun sedang memancing bersama anak saudara lelakinya.

“Polis kemudian menerima makluman kejadian itu pada 5.16 petang dan anggota bomba serta Jabatan Pertahanan Awam melaksanakan operasi menyelamat di kawasan itu.

“Mangsa ditemukan terapung berhampiran muara Bagan Lalang oleh nelayan yang melalui kawasan itu kira-kira 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 6.20 petang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.