Polis lepas tembakan van cuba langgar polis

Polis lepas tembakan van cuba langgar polis

Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi tadi di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan.

polis tembak
Seorang lelaki berjaya ditahan selepas anggota polis mengejar van dipandunya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pagi tadi.
PETALING JAYA:
Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan terhadap van dipandu seorang lelaki selepas cubaannya melanggar anggota penguat kuasa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan.

Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya sebelum itu mengesan sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan dan cuba menahannya.

Katanya, anggota polis kemudiannya bertindak mengejar kenderaan tersebut sejauh 5km sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota sebelum terbabas di bahu jalan.

“Berikutan kejadian itu, tangkapan dilakukan terhadap seorang warga tempatan berumur 36 tahun di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan antara van dipandu suspek dengan kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan.

“Siasatan awal mendapati suspek tiada lesen memandu dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Ujian air kencing juga mendapatinya positif dadah methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya pada 2023 di daerah Barat Daya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepas tembakan di tempat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.