
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Liyana Mohd Ramly, berkata kajiannya mendapati pempengaruh dan selebriti media sosial berdepan tekanan melampau dan ada antara mereka sukar membuat penilaian tepat kerana dikecam ribuan pengguna dalam satu-satu masa.
“Adakala situasi ini turut memberi implikasi kepada keluarga mangsa. Justeru, ia bukan lagi perkara yang untuk suka-suka diceburi,” katanya kepada FMT.
Liyana mengulas kematian seorang pencipta kandungan TikTok berusia 29 tahun Jumaat lalu selepas didakwa dibuli di platform media sosial.
Kes buli siber bukan perkara baru di Malaysia. Pada 2022 kematian seorang ibu kepada tiga anak berusia 44 tahun turut dikaitkan dengan insiden sama selepas dikatakan dibuli di TikTok.
Pada 2020 seorang wanita berusia 20 tahun juga didakwa meninggal dunia akibat tertekan kerana dibuli di media sosial.
Mengulas lanjut, Liyana berkata kerajaan juga perlu mencipta modul ‘keselamatan media sosial’ dengan memberi pendedahan awal dari peringkat sekolah supaya kejadian sama dapat dibendung.
Sementara itu, Ku Ruhana Ku Mahamud dari Fakulti Sains Komputer Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata kerajaan perlu memberikan garis panduan penggunaan media sosial kepada penyedia aplikasi bagi mengelak tragedi berkenaan.
Katanya, pengendali aplikasi juga perlu menyekat terus pengguna yang memberikan komen tidak wajar tanpa memberikan peluang kedua kepada mereka menggunakan aplikasi tersebut.
“(Tapi) kalau tak dapat ditangani, terus tutup TikTok…kerana bukan saja ada kes buli siber malah terdapat juga ‘scammer’ yang menipu urusan jual beli,” katanya.
Bagi Dekan Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ahmad Zaki A Bakar, mengharamkan TikTok bukan cara terbaik kerana masih ada sisi positif aplikasi itu.
Katanya, peraturan mengenai undang-undang siber negara sudah lengkap dan pihak yang menyalahgunakannya boleh dikenakan tindakan.
“Kerajaan perlu sentiasa memberikan pendidikan dan amaran melalui media sosial tentang kesan buruk dan tindakan yang kerajaan boleh ambil terhadap pembuli siber,” katanya.