
Dalam kenyataan, SKMM memaklumkan pemeriksaan selama 19 jam bermula 12 tengah hari itu dijalankan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik antara pihaknya serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
SKMM menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah syarikat yang beroperasi di Klang dan Petaling Jaya, dipercayai terlibat dalam penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal standard yang ditetapkan suruhanjaya itu.
“Antara peralatan disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar dan beberapa peralatan sokongan operasi premis seperti komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi,” menurut kenyataan itu.
SKMM turut mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.
Sebanyak 40 individu diambil keterangan awal manakala sembilan notis kehadiran dikeluarkan kepada individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di ibu pejabat SKMM, Cyberjaya.
SKMM memaklumkan penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan.
Kes disiasat bawah Peraturan 16, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
SKMM menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna.