Mamat Exist mengaku ambil dadah

Mamat Exist mengaku ambil dadah

Bekas penyanyi itu juga diarah jalani pengawasan AADK Bentong selama dua tahun.

Mamat yang popular menerusi lagu ‘Untukmu Ibu’ dikenakan denda RM4,000 kerana mengambil dadah jenis methamphetamine pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas penyanyi Exist, Mamat didenda RM4,000 atau penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas kesalahan dadah pada 2019.

Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan tertuduh atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang, selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan dibacakan, Mamat didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine pada 2 pagi, 9 Sept 2019, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Mamat yang pernah popular dengan kumpulan rock 90an itu menerusi lagu ‘Untukmu Ibu’ juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah, pada 2016 dan 2018.

Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut Sinar Harian, prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Bariah Jalil, manakala Mamat diwakili peguam bela Azlina Abdul Aziz.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.