Kontinjen Malaysia akan berbaju Melayu rekaan Rizman Ruzaini di Olimpik Paris

Kontinjen Malaysia akan berbaju Melayu rekaan Rizman Ruzaini di Olimpik Paris

Jenama Rizman Ruzaini menerusi gandingan Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil baru-baru ini mencipta sensasi kerana mereka busana Lady Gaga untuk persembahan di Las Vegas.

Hamidin Mohd Amin
Ketua Kontinjen Malaysia Hamidin Mohd Amin berkata busana akan dipakai pada perarakan pembukaan Olimpik Paris 2024 diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kontinjen Malaysia bakal bergaya dengan busana bertemakan baju Melayu rekaan Rizman Ruzaini pada upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini.

Perkara itu disahkan Ketua Kontinjen (CDM) Hamidin Mohd Amin dan busana akan dipakai pada perarakan pembukaan Olimpik itu bakal diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi.

Jenama Rizman Ruzaini menerusi gandingan Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil baru-baru ini mencipta sensasi kerana mereka busana bagi penyanyi terkenal, Lady Gaga untuk persembahan di Las Vegas.

Hamidin ditemui pada majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 dengan jumlah tajaan RM194,290 di Wisma OCM.

Olimpik Paris dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Sementara itu, Hamidin percaya keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih jaguh pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi berbanding pelari 400m wanita Shereen Samson Vallabouy untuk slot ‘wild card’ tunggal olahraga ke Paris sebagai keputusan tepat.

Beliau turut berharap Azeem, pemegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki dengan masa 10.09 saat, akan mencatatkan masa lebih pantas di temasya itu, walaupun peluang untuk meraih pingat tipis.

Mengenai persiapan kontinjen negara dengan lebih separuh daripada 26 atlet bakal membuat penampilan pertama, Hamidin berkata semua persiapan berjalan lancar setakat ini.

“Saya lihat semua berada dalam keadaan baik dan bebas kecederaan, cuma beregu wanita Pearly Tan baru sembuh daripada influenza. Saya harap mereka kekal fokus sehingga ke Paris.

“Walaupun ramai atlet baharu, kalau kita lihat atlet seperti Mohamad Aniq Kasdan, Bertrand Rhodict Lises dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi pergi dengan keyakinan tinggi. Mereka sendiri mahu mencabar untuk meraih pingat dan kita harap akan dapat seberapa banyak pingat yang boleh walaupun saiz kontinjen kecil.”

Katanya Institut Sukan Negara (ISN) akan memantapkan lagi prosedur keselamatan atlet ekoran pemain badminton muda China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.