
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Husin berkata, kesemua pengendali makanan itu telah diberi rawatan dan tidak dibenarkan mengendalikan makanan hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Susulan itu, JKNK akan terus memantau situasi wabak tersebut dan menjalankan langkah kawalan bagi mencegah penularannya.
Zaini berkata, enam kes telah dikenal pasti melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang mengalami demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan
Kesemua pelajar itu telah dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil, tambahnya.
“Daripada jumlah itu, dua kes telah sembuh dan dibenarkan pulang selain tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan.
“Sebanyak 35 kes yang disyaki demam tifoid juga dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata, saringan menyeluruh terhadap semua warga sekolah itu akan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kota Bharu dalam masa terdekat.
Demam kepialu ialah penyakit berjangkit akibat jangkitan Salmonella typhi yang merebak melalui beberapa cara, seperti makanan atau minuman dicemari najis mengandungi kuman berkenaan.
Zaini menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti demam berpanjangan, sakit kepala, lemah badan dan cirit-birit atau sembelit.