
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa yang berusia 49 tahun tertarik dengan iklan kejayaan kewangan seorang lelaki di satu laman sesawang pada Disember tahun lepas.
Wanita itu kemudian dihubungi oleh seorang individu melalui WhatsApp setelah mengisi borang di laman sesawang itu, tambahnya.
“Mangsa dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp berkaitan urusan saham oleh individu berkenaan. Selepas tiga bulan, mangsa sekali lagi dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp lain.
“Mangsa kemudiannya diajar oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan dengan membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya, lapor Bernama.
Mangsa yang tidak bekerja itu membuat beberapa pelaburan dari 14 Mac hingga 28 Jun tahun ini menggunakan wang daripada keluarga dan hasil jualan asset, setelah dijanjikan pulangan lumayan dianggarkan RM90 juta dalam waktu yang singkat.
Bagaimanapun, mangsa setakat ini belum menerima sebarang pulangan pelaburan yang dijanjikan.
“(Mangsa) mula mengesyaki dirinya ditipu setelah semua perbualan mesej dan panggilannya disekat, (dan) kemudian membuat laporan di IPD Dungun,” kata Mohd Khairi.