Kutipan solidariti: Kerajaan negeri serah RM76,490 kepada Selangor FC

Kutipan solidariti: Kerajaan negeri serah RM76,490 kepada Selangor FC

Menteri Besar Amirudin Shari berkata jumlah kutipan bukti sokongan kuat rakyat kepada Selangor FC, susulan hukuman MFL.

Menteri Besar Amirudin Shari bersama CEO Selangor FC, Johan Kamal Hamidon (kanan Amirudin), dan Pengerusi MSN Selangor, Najwan Halimi, di serahan kutipan tabung solidariti.
SHAH ALAM:
Kerajaan negeri menyampaikan sumbangan RM76,490 kepada Selangor FC, daripada tabung solidariti yang diwujudkan selepas kelab bola sepak itu didenda Liga Bola Sepak Malaysia.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata jumlah kutipan itu membuktikan betapa kuat sokongan rakyat kepada Selangor FC, susulan hukuman MFL kerana ketidakhadiran pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, pada 10 Mei lalu.

“100% hasil sumbangan yang terkumpul akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu perjuangan keadilan mereka sehingga ke peringkat tertinggi,” kata menteri besar Selangor itu, pada serahan kutipan di bangunan SUK Selangor.

Amirudin menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Johan Kamal Hamidon.

“Ramai yang menawarkan diri memberi sumbangan menerusi pelbagai platform media sosial,” kata Johan, yang terharu atas penglibatan kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC, iaitu denda RM100,000; bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah dan MFL; pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025; dan perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium MBPJ dimainkan tanpa penonton.

Selangor FC memutuskan ‘tidak akan hadir’ dalam perlawanan menentang JDT selepas MFL menolak permohonan menunda tarikh asal perlawanan atas alasan faktor keselamatan.

Permohonan itu susulan peristiwa malang menimpa tonggak utamanya Faisal Halim yang cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.

MFL kemudian mengurangkan denda kepada RM60,000, membatalkan pemotongan mata, dan membenarkan kehadiran penonton, sehari selepas Sultan Selangor menyatakan rasa murka dan kecewa dengan hukuman asal.

Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan hukuman tidak masuk akal dikenakan terhadap Selangor FC, dan murka dengan keputusan MFL yang dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.