
Pakar ekonomi Aimi Zulhazmi Rashid dari Universiti Kuala Lumpur Business School, berkata majoriti pencarum akan membuat pengeluaran kerana memerlukan penambahan kewangan bagi menangani kos sara hidup dan menampung kuasa beli yang berkurangan berikutan pendapatan tidak setaraf peningkatan kadar inflasi.
Beliau dalam pada itu menggesa perancangan kewangan secara bijaksana, demi keperluan di hari tua selaras tujuan sebenar caruman KWSP.
“Sekiranya ada yang mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel untuk membuka atau membesarkan lagi perniagaan masing-masing, itu suatu langkah proaktif dan berinisiatif tinggi dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Kalau boleh, ia dikeluarkan untuk menambah pendapatan kedua dan bukannya untuk perbelanjaan semata-mata. Begitu juga kalau nak gunanya untuk melabur, harus bijak dan berhati-hati dengan pelbagai cabaran seperti jenayah siber dan ‘scammer’ yang menjadi-jadi sekarang,” katanya kepada FMT.
Turut senada, Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata tabiat berbelanja yang tidak berhemah perlu dielakkan. “Rata-rata kita dapat lihat orang terpaksa melakukan tiga pekerjaan bagi menanggung kos sara hidup mereka.”
“Tapi ramai juga yang suka beli kereta baharu walaupun kereta terpakai jauh lebih murah, atau membeli ‘gadget’ canggih yang mereka tak perlu pun dengan adanya skim ‘Buy Now Pay Later’. Ramai juga suka bercuti di resort dan luar negara walaupun terpaksa berhutang,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata mungkin sebahagian besar pencarum yang mengeluarkan Akaun 3 itu mempunyai simpanan banyak dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) yang boleh dipindahkan nanti.
“Jika ini betul, ia bukan petunjuk kos sara hidup semakin menekan rakyat tetapi lebih kepada pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi dan mahu mengeluarkannya untuk pelbagai sebab berbanding akibat masalah kos sara hidup,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan seramai 2.93 juta ahli atau 22.6% pencarum KWSP bawah umur 55 tahun membuat pengeluaran melalui Akaun 3 melibatkan RM6.98 bilion, menurut Kementerian Kewangan.
Manakala 3.45 juta atau 26.6% ahli pula membuat pilihan memindahkan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dengan jumlah RM10.86 bilion, manakala RM4.82 bilion lagi dipindahkan ke Akaun Persaraan (Akaun 1) setakat 10 Jun.