
Naib Presiden Pembangunan Huluan Mohd Nazlee Rasol berkata berkata kira-kira 70% pengeluaran minyak dan gas syarikat itu ditapis di dalam negara, manakala baki 30% dieksport.
Beliau berkata syarikat minyak nasional itu sedang mengkaji sama ada struktur tersebut perlu dikekalkan atau ditukar bagi menyokong keperluan bekalan jangka panjang negara, susulan konflik di Asia Barat yang telah mencetuskan kekurangan tenaga di seluruh dunia.
“Oleh itu, kami perlu meneliti semula sama ada mahu meneruskannya atau membuat perubahan,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel ‘Mempercepat Pembangunan bagi Keterjaminan Tenaga: Strategi Pantas di Lapangan dalam Dunia Tidak Menentu’ acara Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) di Kuala Lumpur.
Nazlee berkata Petronas membentuk satu pasukan petugas khas bagi meneliti pendekatan melonjakkan pengeluaran dan sebarang usaha tambahan seumpamanya dapat memastikan bekalan berterusan kepada fasiliti loji penapisan.
Beliau berkata syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan pemain industri untuk mengenal pasti kaedah mempercepatkan pengeluaran termasuk perbincangan dengan penyedia perkhidmatan mengenai teknologi yang boleh meningkatkan output.
Pada Isnin, Petronas memaklumkan ia akan bekerjasama dengan anak syarikatnya bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi untuk menangani kekurangan komoditi itu susulan konflik di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan perang di Iran, dengan hampir 40% keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz, yang ditutup Iran sejak konflik bermula.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mempunyai bekalan petrol mencukupi untuk mengekalkan harga bersubsidi sekurang-kurangnya sehingga Mei.