
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong, berkata ia antaranya melibatkan kesalahan menerima dan memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, menggunakan jawatan atau kedudukan dan pengubahan wang haram.
Beliau berkata berdasarkan data tersebut, ia memberikan gambaran aktiviti rasuah dalam kalangan golongan muda adalah isu serius yang perlu dibendung supaya tidak dinormalisasikan dalam kehidupan.
“Sekiranya perkara ini berlarutan, apakah yang akan berlaku 10 tahun akan datang? Pada masa tersebut kita sudah tidak dapat mengubah apa-apa lagi kerana ia seolah-olah akan dianggap sebagai lumrah atau normalisasi kehidupan.
“Oleh itu, SPRM berusaha untuk terus memberi pengetahuan kepada kumpulan muda terutama mahasiswa yang menjadi harapan dan barisan kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya pada majlis penutup Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) kali ke-9 di Alor Gajah, Melaka.
Amar yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu bergerak menyebarkan mesej antirasuah di kampus dengan 2,988 program dilaksanakan melibatkan penyertaan 816,734 pelajar.
Dalam pada itu, Nazli berharap Amar terus kekal relevan merentas masa dalam menyebarluaskan mesej antirasuah di negara ini.
“Sesungguhnya ahli Amar sedang melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai seorang warganegara Malaysia yang inginkan negara ini dan masyarakat secara amnya hidup bebas tanpa belenggu rasuah,” katanya.