
Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata himpunan itu membuktikan Malaysia negara menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman serta menegur dan mengkritik pemerintah.
Beliau berkata, ia juga memberikan gambaran sesiapa pun berpeluang bersuara tanpa diganggu-gugat.
“Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju (perdana menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendekatan Madani membuka (peluang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Bakap, malam tadi.
Petang tadi, kira-kira 250 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut subsidi diesel dikembalikan serta tidak menaikkan harga petrol RON95 dan gas.