
Pengarah PenMas SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, konvensyen kali kesembilan yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan menjadikan golongan pelajar sebagai ‘jurucakap penting’ dalam menyebarluas usaha pencegahan rasuah di negara ini.
Katanya, konvensyen itu diharap dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan pelajar dalam isu rasuah agar mereka lebih peka serta prihatin bahawa tanggungjawab memerangi rasuah adalah tanggungjawab semua pihak.
“Golongan pelajar merupakan golongan sasar yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni, pendidikan pencegahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai asas penting sebelum menempuh alam pekerjaan.

“Kami berharap dengan pendedahan diberikan pada konvensyen kali ini, para peserta dapat membentengi diri daripada perkara negatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seramai 118 ahli Amar yang terdiri daripada presiden dan ahli majlis tertinggi membabitkan 20 daripada institusi pengajian tinggi awam, institut pendidikan guru (27), institusi pendidikan Mara (55) dan 16 daripada institut pendidikan tinggi swasta.
Konvensyen ini juga akan turut disertai oleh ahli Amar yang baharu ditubuhkan di Universiti Teknologi Petronas dan Asia Pacific University of Technology & Innovation.
Menerusi konvensyen yang berkonsepkan pertandingan ini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi ceramah dan dialog, team building, pembentangan kajian keberkesanan program Amar.