Mahkamah tolak saman Indira Gandhi terhadap bekas KPN, kerajaan

Mahkamah tolak saman Indira Gandhi terhadap bekas KPN, kerajaan

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa polis telah menjalankan tugas mereka untuk mencari bekas suami dan mengembalikan anak perempuannya.

indira
Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata M Indira Gandhi gagal membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak saman bekas guru tadika M Indira Gandhi terhadap bekas ketua polis negara dan kerajaan atas dakwaan kegagalan menangkap bekas suaminya dan mengembalikan anak perempuannya diculik oleh lelaki itu pada 2008.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata plaintif gagal membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Raja Ahmad berkata beliau cenderung untuk mempercayai keterangan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador dan Yap Siew Cheng pegawai yang diamanahkan untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi bagi mencari bekas suami Indira, K Pathmanathan, yang memeluk Islam dan menukar nama kepada Muhammad Riduan Abdullah.

Beliau juga berkata tuntutan Indira mengenai misfeasans dalam pejabat awam – kegagalan seorang penjawat awam untuk melaksanakan tindakan yang dikehendaki oleh undang-undang – juga tidak berlaku.

“Sehubungan itu, saya dikekang daripada membenarkan saman beliau,” katanya dalam alasan yang disampaikan pada petang ini.

Beliau juga mengarahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Raja Ahmad berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan, Hamid dan pegawai polis lain membuat usaha yang serius dalam menyiasat kes tersebut.

Katanya, polis juga meminta bantuan Interpol untuk mencari Riduan.

“Mereka menjalankan tugas siasatan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam saman yang difailkan pada 2020, Indira Gandhi, 49, mendakwa bahawa bekas ketua polis negara dengan sengaja dan secara cuai tidak mematuhi perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Persekutuan dengan gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anak perempuannya, Prasana Diksa, yang kini berusia 16 tahun.

Indira mendakwa defendan mempunyai peranan penting dalam membuat keputusan atau mengarahkan polis untuk melaksanakan waran penahanan terhadap Riduan, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Ibu kepada tiga anak itu berhujah tingkah laku defendan menyebabkan perpisahan dengan anak bongsunya berterusan sehingga hari ini dan juga menyebabkan Riduan melarikan diri.

Indira menuntut RM100 juta dalam bentuk ganti rugi am, teruk, dan teladan, serta pengisytiharan bahawa Hamid telah melakukan ketakpatuhan dalam pejabat awam.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan bertanggungjawab secara tidak langsung atas ketidakpatuhan yang dilakukan oleh polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.