Lelaki ditahan palsu dokumen guna jata Sultan Kelantan

Lelaki ditahan palsu dokumen guna jata Sultan Kelantan

Suspek berusia 51 tahun itu direman empat hari untuk membantu siasatan.

handcuff
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan di Kampung Tiong Dalam, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu lepas.
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes pemalsuan surat permohonan menggunakan jata tubuh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan di Kampung Tiong Dalam pada 2.23 petang selepas polis menerima laporan berhubung kes tipu tukar hak milik kenderaan tanpa pengetahuan pemilik di Machang pada 18 April lepas.

“Suspek ini bersangkut (laporan) di Kota Bharu berkait kes pemalsuan sepucuk surat ‘Warkah Permohonan Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan Darulnaim Yang Menggunakan Jata Tubuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V’ pada April lepas,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen bagi tujuan menipu.

Muhamad Zaki berkata, pengadu yang juga pemilik dan pengarah sebuah syarikat, memaklumkan melantik suspek menguruskan satu projek perniagaannya di kawasan Jeti Pasir Puteh pada 6 Mac 2022.

“Bagi tujuan itu, suspek diberikan sebuah kenderaan pelbagai guna milik syarikat namun gagal melaksanakan tanggungjawab bagi menguruskan projek dan ditamatkan perkhidmatan oleh pihak syarikat,” katanya.

Syarikat itu kemudian menuntut kenderaan tersebut dikembalikan, menurut Muhamad Zaki.

Suspek bagaimanapun enggan mematuhi arahan syarikat dan menggunakan dokumen dipercayai palsu untuk membuat penukaran hak milik kenderaan.

Suspek direman empat hari sehingga Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.