Exco FAM rela letak jawatan beramai-ramai elak penggantungan Fifa

Exco FAM rela letak jawatan beramai-ramai elak penggantungan Fifa

Langkah itu antara pilihan yang sedang diteroka FAM selepas perjumpaan bersama exco hari ini, kata pemangku presiden Mohd Yusoff Mahadi.

Menurut FAM, buat masa ini, tiada lagi exco letak jawatan, dengan satu lagi mesyuarat akan diadakan selepas ini untuk muktamad penyelesaian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli jawatankuasa eksekutif (exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) rela melepaskan jawatan beramai-ramai demi memastikan badan induk bola sepak negara itu tidak digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Pemangku Presidennya Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, langkah itu antara pilihan yang sedang diteroka FAM selepas perjumpaan bersama exco hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memaklumkan situasi membabitkan FAM sedang dipantau rapat oleh Fifa dan pihaknya.

Bagaimanapun, buat masa ini, tiada lagi exco FAM yang melepaskan jawatan, dengan satu lagi mesyuarat akan diadakan selepas ini untuk memuktamadkan penyelesaian.

“Kita sedang memikirkan beberapa pilihan yang ada supaya bola sepak negara terjaga. Apa yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan atau memastikan FAM tidak digantung Fifa.

“Cuma buat masa ini, kita baru berbincang dan sebarang keputusan belum lagi dibuat. Tetapi kita akan membuat keputusan secepat mungkin dan tidak akan menunggu keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).”

“Kita ada dua atau tiga pilihan dan salah satu pilihannya adalah cadangan untuk meletakkan jawatan,” katanya, lapor Berita Harian.

Pada September lepas, Fifa mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas FAM didapati mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Ekoran itu, FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada sebarang kegiatan berkaitan bola sepak berkuat kuasa dari tarikh pemakluman.

Selepas Fifa menolak rayuan FAM pada 3 Nov, persatuan itu bertindak membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Walaupun jawatankuasa bebas yang menyiasat kes tersebut gagal menentukan secara konklusif pihak yang memalsukan dokumen terbabit, polis Malaysia telah memulakan siasatan sendiri dengan lapan individu sudah memberi keterangan setakat semalam.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, FAM memaklumkan bahawa jawatankuasa tatatertibnya memutuskan untuk menamatkan penggantungan Setiausaha Agung Noor Azman Rahman berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat setelah beliau didapati hanya terlibat dalam kecuaian pentadbiran dan bukannya pemalsuan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.