
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, Illi Marisqa Khalizan, Fatin Dayana Jalil dan Nurul Izzah Shaharuddin mengeluarkan waran tangkap itu terhadap Norjuma, 44, selepas wanita itu dan penjaminnya tidak muncul di kamar mahkamah, walaupun namanya dipanggil jurubahasa beberapa kali sejak prosiding bermula 9 pagi tadi.
Terdahulu, kelibat usahawan selebriti itu dilihat di lobi mahkamah sekitar 10.30 pagi dan gambarnya sempat dirakam jurufoto, namun dia berpatah balik ke tempat letak kenderaan dipercayai untuk mengalihkan keretanya.
Bagaimanapun, sehingga 1 tengah hari tadi, Norjuma tidak masuk ke lobi mahkamah, oleh itu mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan menetapkan sebutan semula kes pada 26, 29 dan 30 Julai serta 2 Ogos ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Norjuma mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah syarikat borong dan runcit di Menara Atlan, Jalan Ampang, Dang Wangi di sini pada 8.43 malam 21 Feb 2017.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap pengawal keselamatan warga Nepal, Neupane Tika Ram, dengan menendang betis kirinya di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara, Brickfields pada 3 petang 29 Mac 2018.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Norjuma didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh menjangkau RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Norjuma dituduh melakukan perbuatan serupa ke atas Nur Solehah Rosl, 31, dengan menampar pipi dan mencakar tangan mangsa di Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju pada 10.30 pagi 18 Okt 2021, juga mengikut seksyen sama.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Norjuma didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan dengan anggaran kerugian RM4,200 serta kamera litar tertutup (CCTV) anggaran kerugian RM500 milik kondominium sama pada 7.44 serta 7.45 malam 28 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Harvind, Hamizah Hisan dan Sheryn Yong Shi Yee serta Pegawai Pendakwa Shazwan Hasifi Shahrun.