Jom ke pameran ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ Balai Seni Negara

Jom ke pameran ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ Balai Seni Negara

Orang ramai dijemput hadir ke pameran akhir Young Art Entrepreneurs di GMBB Kuala Lumpur yang akan berakhir 8 Julai ini.

Peserta bergambar selepas perasmian ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ di GMBB, Kuala Lumpur, hari ini.
PETALING JAYA:
Balai Seni Negara menganjurkan pameran akhir program Young Art Entrepreneurs (YAE!) kohort ke-9 iaitu ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ bermula 22 Jun lalu hingga 8 Julai ini di GMBB, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Embracing A New Chapter’, program YAE! kohort ke-9 berjaya menarik penyertaan 15 peserta terpilih untuk menjalani sesi pembelajaran ilmu keusahawanan secara intensif selama empat bulan di Art Depot, Balai Seni Negara.

YAE! bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri keusahawanan dalam dalam bidang seni yang maju serta berdaya saing.

Antara peserta terlibat dalam pameran akhir ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ bermula 22 Jun lalu hingga 8 Julai ini.

“Sepanjang pelaksanaannya, peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina ‘Business Model Canvas’ yang betul.

“Mereka turut berpeluang menyertai pasaran seni di program kesenian dengan sokongan Balai Seni Negara dan berkongsi pandangan melalui penganjuran bengkel seni,” kata Balai Seni Negara dalam kenyataan.

Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Perasmian pameran itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Mohd Yusri Mohd Yusoff hari ini.

Dalam ucapan perasmian, Yusri berharap program itu terus berjaya dan diberi nilai tambah baharu agar YAE! sentiasa relevan dengan peredaran zaman bersesuaian dengan model perniagaan inklusif Madani iaitu strategi untuk menyediakan peluang mata pencarian secara komersial melalui aktiviti perniagaan bersama sektor korporat.

“Saya amat berharap kepada mana-mana pihak sama ada korporat atau awam yang berminat dengan produk dan model perniagaan peserta YAE! ini dapat turut sama menggembleng tenaga dan melabur serta bekerjasama untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Shaik Rizal Sulaiman, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad dan Pengurus Besar GMBB Kuala Lumpur Lim Ying Hui.

Sejak diperkenalkan pada 2017 Balai Seni Negara berjaya melahirkan seramai 138 usahawan seni melalui program YAE!

Orang ramai dijemput hadir ke pameran akhir ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ di GMBB Kuala Lumpur yang akan berakhir 8 Julai ini. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.