‘Silap saya tak maklum awal’, kata Tiong berkait kontroversi hidang arak

‘Silap saya tak maklum awal’, kata Tiong berkait kontroversi hidang arak

Menteri pelancongan, seni dan budaya berkata sebarang acara anjuran kementerian tidak membabitkan hidangan alkohol seperti berlaku pada majlis baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berharap isu hidangan arak tidak terus dijadikan polemik politik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiong King Sing mengaku silap apabila pihaknya tidak memaklumkan lebih awal majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 Gala Dinner dianjurkan pihak lain, bukan oleh Tourism Malaysia sekali gus menimbulkan kekeliruan seolah-olah ia acara rasmi kerajaan.

Menteri pelancongan, seni dan budaya, berkata sebarang acara anjuran kementerian tidak membabitkan hidangan alkohol seperti berlaku pada majlis baru-baru ini.

“Kesilapan pada malam itu, sepatutnya saya umum pihak penganjur sudah bertukar, di mana majlis (GTM 2025 Gala Dinner) itu bukan dianjurkan dari kita (kementerian melalui Tourism Malaysia). Jadi, ada keliru sikit, kesulitan ini amat dikesali.

“Baru ini kita pun anjur (Persidangan Pelancongan Dunia 2025) di Melaka, kita pun ada majlis sama, ada alkohol di sana? Tiada.

“Mana-mana majlis anjuran (kementerian) ada alkohol? Tiada. Kita pun faham larangan menghidang alkohol dalam acara rasmi kerajaan bawah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) yang meminta penjelasan sama ada GTM 2025 dianjurkan kementerian, memandangkan laporan media menyebut majlis itu mendapat kelulusan ketua pengarah Tourism Malaysia serta menteri sendiri.

Tiong menjelaskan, pihaknya juga sepatutnya menukar lebih awal ‘backdrop’ di pentas utama yang masih tertera logo dan nama Tourism Malaysia, kepada logo penganjur sebenar iaitu pihak industri dan swasta.

“Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk Tourism Malaysia. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara ‘private’. Pekeliling tidak terpakai dan isu minuman beralkohol tak sepatutnya timbul.

“Namun, saya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan penuh tanggungjawab menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan segala kesulitan. Segala yang timbul amat dikesali,” katanya.

Susulan itu, beliau berharap isu hidangan arak tidak terus dijadikan polemik politik, dan mengesahkan menerima teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri bagi nasihat, kita terima. Saya kata, kita jangan ulang main politik, tuduh dan hina orang Islam. Kita tak hina, dalam apa anjuran kita, memang tak ada alkohol di atas meja,” katanya.

Tiong turut memaklumkan penganjuran GTM 2025 berjaya mencatat nilai jualan pelancongan mencecah RM420 juta sepanjang tiga hari acara itu hasil rundingan perniagaan dengan perniagaan.

Sebelum ini, Anwar memberi amaran keras kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tiong berhubung isu hidangan arak dalam majlis GTM, memandangkan kerajaan tegas melarang minuman keras dalam acara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.