
Kementerian menerusi kenyataan, berkata pihaknya mengambil iktibar daripada insiden tersebut dan akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang telah ditetapkan.
“Motac dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” katanya.
Tambahnya, kementerian akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali,” katanya.
Terdahulu, Anwar memberi amaran kepada Motac dan menterinya Tiong King Sing sambil menegaskan dasar kerajaan tegas tidak benarkan minuman keras dihidang pada acara rasmi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati Samsudin memuat naik video di Facebook yang mempersoalkan mengapa minuman beralkohol dihidangkan pada acara kerajaan, sambil menyatakan perkara itu melanggar norma budaya dan Perlembagaan.
Tiong menafikan minuman beralkohol dihidangkan pada majlis makan malam gala anjuran kerajaan, sambil menjelaskan ia sebenarnya dianjurkan rakan kongsi sektor swasta bagi meraikan acara pelancongan global pertama seumpamanya di Malaysia.
Walaupun Tourism Malaysia pada awalnya merupakan penganjur, beliau berkata pihak sektor swasta melihat wujud peluang untuk mendapatkan urus niaga perniagaan yang besar dan mengambil alih penganjuran majlis makan malam berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata beliau akan membangkitkan bantahan Umno terhadap penghidangan minuman beralkohol pada mesyuarat Kabinet akan datang.