Lambat laksana penyasaran subsidi punca kedudukan daya saing Malaysia turun, kata PM

Lambat laksana penyasaran subsidi punca kedudukan daya saing Malaysia turun, kata PM

Anwar Ibrahim berkata teguran berkaitan subsidi yang memberi kesan perbelanjaan negara ditegur dalam laporan Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024.

diesel
Kerajaan telah memulakan penyasaran subsidi bahan api bermula diesel pada 10 Jun lalu.
KUALA LUMPUR:
Lambat melaksanakan penyasaran subsidi yang memberi kesan kepada perbelanjaan menjadi antara faktor menyebabkan ranking Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024 merudum, kata perdana menteri.

Anwar Ibrahim berkata teguran berkaitan subsidi itu agak keras dalam laporan terbabit menyebabkan kedudukan Malaysia merosot daripada tangga 27 kepada 34.

“Katanya kita tidak tegas dalam soal perbelanjaan, dalam perbelanjaan meningkat dan defisit membengkak kita masih luluskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Tapi dalam keadaan ekonomi begitu (kita) fikirkan kepentingan rakyat terpaksa berikan,” katanya menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga menteri kewangan menjelaskan sebelum ini perbelanjaan menampung subsidi tidak termasuk dalam penilaian terbabit menyebabkan kedudukan Malaysia tidak terjejas.

“Kalau soal mengapa penyasaran subsidi tidak jejaskan (kedudukan), ia belum masuk dalam kerangka (sebelum ini)…Indonesia ambil tindakan keras (penyasaran subsidi) harga tepung dan gula (menyebabkan) prestasi mereka jauh melonjak ke atas.

“Subsidi Malaysia pula dia (laporan) kata ‘unrealistic economy prescription’, harga rendah ketimbang (berbanding) pasaran,” katanya.

Namun Anwar yakin kedudukan Malaysia dijangka lebih baik pada masa depan susulan pengukuhan ringgit, pertumbuhan ekonomi selain pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api bermula diesel pada 10 Jun selain pengapungan harga ayam sebelum itu.

“Saya percaya akan bertambah baik, kita ambil perhatian tiga perkara ini supaya dapat perbaiki,” katanya.

Menerusi laporan Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, Malaysia berada di tangga ke-34 daripada 67 negara, jatuh daripada kedudukan ke-27 dalam indeks itu pada tahun lalu.

Laporan itu turut meletakkan Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara di rantau Asia Pasifik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.