
Menurut Anwar, Asean yang kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia, berada dalam kedudukan strategik untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran global, terutamanya dalam bidang geopolitik dan geoekonomi.
Katanya, ketika pelancaran Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015, negara anggota telah membayangkan rantau ini sebagai kompetitif dan berdaya tahan.
“Visi itu telah membimbing perjalanan kita dan terus memberi inspirasi kepada kita sehingga kini. Kini, Asean berdiri sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia.
“Dengan perkongsian ekonomi komprehensif serantau, perjanjian perdagangan dipertingkatkan dan hubungan yang semakin mendalam, menjadikan kita berada di landasan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Dinner Asean di Taman Botani.
Tambah beliau lagi, kekuatan Asean bukan sekadar pada jumlah negara anggota sebaliknya kekuatan kolektif yang dihormati dan relevan di pentas dunia.
Anwar turut menekankan Asean perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan tidak lagi sekadar menjadi pemerhati dalam menghadapi cabaran global.
“Kita mesti memimpin. Ketahanan mesti dibina dari dalam dengan mengukuhkan rantaian bekalan, memperkasakan PKS (perusahan kecil dan sederhana), melabur dalam kemampanan, dan memanfaatkan inovasi,” katanya.