
Profesor Madya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Azizah Zain berkata, kecenderungan murid bandar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama boleh menghakis jati diri bangsa.
Beliau berkata, bahasa Melayu mesti dimantapkan sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sebelum kanak-kanak mempelajari bahasa kedua.
“Memang betul bahasa Inggeris penting, tetapi apabila ia menjadi bahasa utama dalam komunikasi harian, kita perlu bertanya, adakah ini menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
“Dari segi kognitif, penguasaan dua bahasa memang bermanfaat namun perlu diingat bahawa hierarki bahasa itu penting,” kata pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak universiti itu, lapor Harian Metro.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi asas yang kuat terlebih dahulu sebelum kanak-kanak menguasai bahasa kedua.”
Tambahnya, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, malah ia wadah jati diri bangsa.
“Kanak-kanak yang lebih selesa berbahasa Inggeris mungkin kehilangan nuansa budaya dan nilai-nilai yang terkandung dalam bahasa Melayu.”
Azizah mengakui bahasa Inggeris mempunyai kelebihan, termasuklah kemahiran komunikasi global, akses kepada ilmu pengetahuan dan peluang pekerjaan yang lebih cerah.
Bagaimanapun, tegasnya, kanak-kanak yang membina asas bahasa Melayu yang mantap sebelum mempelajari bahasa Inggeris cenderung menjadi lebih efektif berbanding mereka yang bahasa utamanya bahasa Inggeris sejak kecil.
Beliau mengingatkan bahawa ancaman terbesar adalah apabila kanak-kanak semakin ‘terasing’ daripada bahasa dan budaya Melayu.
Bagi mengatasi isu ini, beliau menyeru ibu bapa agar menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu di rumah dengan mendorong anak-anak berfikir dalam bahasa tersebut serta mendedahkan mereka kepada karya sastera tradisional seperti pantun, syair dan cerita dongeng.
Azizah turut menggesa pihak sekolah agar memperkasakan semula bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, manakala bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran sokongan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering menegaskan kepentingan memantapkan kemahiran bahasa Inggeris.
Awal bulan ini, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) agar melipatgandakan inisiatif bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, yang disifatkannya amat penting untuk daya saing global Malaysia.
Bernama melaporkan beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan wajib dipertahankan sebagai wadah perpaduan untuk seluruh rakyat Malaysia.