
Hakim Rasidah Roslee menetapkan perbicaraan kes selama empat hari selepas pihak pendakwaan dan peguam Badrul mencapai persetujuan tarikh berkenaan.
Badrul didakwa membuat penerbitan menghasut menggunakan akaun Facebook atas nama Che’Gu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang 26 April lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal mewakili pihak pendakwaan manakala Badrul diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Terdahulu pihak pendakwaan memberitahu akan mengemukakan tujuh saksi antaranya pengadu, pegawai penyiasat dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sementara itu dalam sidang akhbar di perkarangan kompleks mahkamah, Rafique memberitahu pihaknya masih menunggu tarikh sebutan Mahkamah Rayuan di Kuala Lumpur berhubung rayuan terhadap keputusan ‘gag order’ selepas rayuan difailkan pada 27 Mei lepas.
Sebelum ini mahkamah mengenakan perintah ‘gag order’ iaitu tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan terbuka berhubung kes yang sedang dihadapi olehnya sehingga selesai perbicaraan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah terhadap Badrul untuk tidak mengeluarkan kenyataan atau komen berkaitan kes dihadapinya pada 14 Mei lepas, dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru juga mengeluarkan perintah sama pada 20 Mei.