PRK Sg Bakap: SPR tak buka pusat undi awal untuk polis

PRK Sg Bakap: SPR tak buka pusat undi awal untuk polis

SPR sahkan tiada pusat undi awal dibuka pada 2 Julai kerana 57 polis menggunakan undi pos.

Seramai 39,279 pengundi layak memilih pada PRK Sungai Bakap membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 polis.
PETALING JAYA:
Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada hari pengundian awal PRK Sungai Bakap, 2 Julai.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim, yang mengesahkan perkara itu berkata ini kerana semua 57 polis yang mengundi awal pada PRK itu akan menggunakan undi pos.

“Betul tiada pengundian awal, semua telah memohon untuk undi pos,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan kertas undi pos kepada semua yang terlibat esok dan kertas itu boleh diambil pegawai yang bertanggungjawab (PYB) pada 2.30 petang.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 22 Jun dan 2 Julai.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 24 Mei, seramai 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu, membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.