Pemimpin tak ada ilmu boleh ‘sesatkan’ orang lain, calon PH jawab Sanusi

Pemimpin tak ada ilmu boleh ‘sesatkan’ orang lain, calon PH jawab Sanusi

Joohari Ariffin enggan dabik dada dengan kelayakan akademik tinggi, namun katanya pemimpin cemerlang kena ada 'karakter baik dan berpengetahuan'.

Calon PH Sungai Bakap Joohari Ariffin berkata kelayakan akademik penting dalam memimpin, manakala Sanusi Nor dakwa ramai pemimpin politik tiada kriteria itu namun berjaya dalam tugas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Sungai Bakap Joohari Ariffin berkata pemimpin berilmu penting, jika tidak dikhuatiri boleh ‘menyesatkan’ orang lain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Sanusi Nor, yang mempertahankan calon gabungan itu, Abidin Ismail, dikatakan tidak mempunyai ‘kelayakan akademik tinggi’, namun berkemampuan memimpin.

Joohari bagaimanapun enggan mendabik dada walaupun ada usaha merendahkan kelayakan akademik, dijadikan kayu pengukur menjadi pemimpin politik berkesan.

Katanya, pemimpin politik cemerlang bukan sahaja memerlukan karakter baik, malah memiliki ilmu pengetahuan.

“Bila karakter sudah ada perkara seterusnya adalah ilmu, kalau dia tidak ada ilmu dia boleh menyesatkan orang sebab itu pada saya manusia ini bukannya bodoh, tetapi dia jahil dan kita kena ajar dia sampai jadi pandai,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Sungai Bakap.

Sebelum ini, kelayakan akademik Abidin dipersoal banyak pihak berikutan kelulusannya tidak dipamerkan pada poster calon, berbanding Joohari yang memiliki kelayakan doktor falsafah.

Sanusi walaupun mengakui kelulusan akademik juga penting, beliau mendakwa ramai pemimpin politik negara tidak mempunyai kriteria itu namun berjaya dalam tugas.

Mengulas lanjut, Joohari berkata, latar belakangnya sebagai guru memberi kelebihan kepadanya berikutan profesion itu antara yang dipercayai masyarakat di seluruh dunia.

“Guru adalah kerjaya yang kedua selepas doktor dan dipercayai oleh orang ramai seluruh dunia. Jadi, bila orang dah percaya, jangan tipu orang dan ahli politik juga begitu.

“Saya yakin pengundi di Sungai Bakap dapat membuat penilaian yang terbaik bagi memilih wakil rakyat mereka nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.