Anak jutawan kosmetik tertarik dengan Umno, datang ‘memerhati’

Anak jutawan kosmetik tertarik dengan Umno, datang ‘memerhati’

Ammar Ahyan, anak kepada Aliff Syukri Kamarzaman berkata dia mahu menilai sendiri pemimpin parti itu sebelum membuat keputusan menyertai Umno.

Kehadiran Ammar Ahyan pada Konvensyen 80 Tahun Umno semalam menarik perhatian ramai. (Gambar Facebook Friends of BN)
KUALA LUMPUR:
Ammar Ahyan, anak kepada usahawan kosmetik terkenal Aliff Syukri Kamarzaman berkata dia hadir ke Konvensyen 80 Tahun Umno semalam untuk menilai pemimpin parti itu atas konteks pengundi kali pertama dan bakal ahli.

Bakal berusia 18 tahun, sekali gus layak mengundi pada PRU16 dan menyertai parti politik, Ammar berkata dia mahu mendengar sendiri ucapan pemimpin negara sebelum membuat keputusan.

“Saya belum daftar sebab baru tahun ini saya masuk 18 tahun dan kali pertama saya boleh mengundi pada PRU akan datang,” katanya kepada FMT, mengulas kehadirannya pada konvensyen itu kerana ada pihak mengaitkannya dengan penyertaannya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia mendaftar sebagai ahli Umno, Ammar berkata perkara itu masih dalam pertimbangannya.

“Mungkin ada kemungkinan yang tinggi (jadi ahli Umno). Saya akan fikir,” katanya.

Media pada tahun lalu melaporkan ibunya Nur Shahida Mohd Rashid berkata Ammar berminat menjadi ahli politik dan pernah menyuarakan hasrat menyertai Umno selepas tamat persekolahan.

Mengulas pemerhatiannya sepanjang konvensyen, Ammar berkata beliau melihat pemimpin Umno kini lebih banyak memberi tumpuan kepada masa depan berbanding nostalgia perjuangan lalu.

“Dulu saya nampak pemimpin suka cerita pasal benda-benda lama, macam tak boleh ‘move on’.

“Tapi sekarang mereka nak cerita pasal masa depan, itu buat saya tertarik,” katanya.

Mulai 20 Apr, Umno membuka pendaftaran baharu ahli Umno melalui secara dalam talian untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.