Terpedaya pelaburan kripto, pengurus rugi RM3.9 juta

Terpedaya pelaburan kripto, pengurus rugi RM3.9 juta

Mangsa terpedaya selepas tertarik dengan iklan dagangan pasaran saham di Facebook tahun lepas.

Menurut Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin, polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengurus syarikat petroleum kerugian RM3.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan kripto tidak wujud melalui media sosial.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata pihaknya menerima maklumat selepas mangsa membuat laporan polis di IPD Dungun semalam.

Katanya, lelaki berusia 53 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan dagangan pasaran saham di Facebook sebelum menyertai kumpulan WhatsApp, Disember tahun lepas.

“Pada Mac, mangsa diperkenalkan dengan pelaburan kripto dan membuka akaun pelaburan dengan Baorui Exchange yang berpengkalan di Amerika Syarikat dengan nilai jumlah sebanyak RM7,071.75 (USD1,500).

“Kemudian mangsa diminta untuk menambah deposit sebanyak RM942,900 (USD200,000) untuk memulakan transaksi urusan pelaburan.

“Pada 30 April lepas, mangsa cuba mengeluarkan wang dari Baorui Exchange itu namun disekat dengan alasan akaun mangsa sudah dijadikan sebagai VIP Bronze User di mana mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM942,900 sebelum boleh membuat pengeluaran,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata jika mangsa menarik diri daripada menjadi ahli VIP Bronze User, dia perlu membayar denda RM2.36 juta.

“Mangsa kemudiannya mendepositkan wang sebanyak RM518,595 selepas berunding dengan Baorui Exchange tersebut untuk mengurangkan bayaran sebagai VIP Bronze User supaya dapat mengeluarkan duit.

“Mangsa kemudian ditawarkan dengan keuntungan jika membuat penambahan dana. Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa terus membuat pindahan wang ke akaun diberikan.

“Pada 17 Jun lepas, mangsa ingin mengeluarkan modal dalam akaun tersebut namun diberitahu akaunnya dalam siasatan pengubahan wang haram oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dikehendaki membayar sebanyak RM2.5 juta sebelum 21 Jun bagi mengelakkan duit mangsa dibekukan,” ujarnya.

Susulan laporan polis yang dibuat, Khairi berkata polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.