Pembaharuan perlu langkau pembetulan pasca-audit, kata badan pemikir

Pembaharuan perlu langkau pembetulan pasca-audit, kata badan pemikir

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata tadbir urus pencegahan diperlukan untuk henti kesilapan berulang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara terbaru.

laporan ketua audit negara 1 2026
IDEAS berkata Laporan Ketua Audit Negara 2026 sepatutnya menjadi sistem amaran awal.
PETALING JAYA:
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa Putrajaya mengalihkan fokus daripada pembetulan selepas audit kepada tadbir urus pencegahan susulan kelemahan berulang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 1.

Badan pemikir itu memperakui usaha susulan kerajaan dengan berkata, sehingga 31 Dis 2025, 94.4% isu audit diselesaikan, dengan pemulihan hasil dan kutipan berjumlah RM316.68 juta.

Tetapi, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari, berkata pemulihan dana selepas ketidakaturan tidak wajar dijadikan kayu ukur pembaharuan.

“LKAN perlu berfungsi sebagai sistem amaran awal,” katanya dalam kenyataan.

“Tanpa kawalan pencegahan lebih kukuh, akauntabiliti lebih jelas dan pengawasan berasaskan prestasi, kelemahan sama akan terus berulang.”

Justeru, IDEAS menyeru entiti menguruskan dana awam penting, termasuk anak syarikat dan syarikat tujuan khas, tertakluk piawaian ketelusan dan pelaporan sama seperti agensi kerajaan teras, dengan garis masa jelas, kemas kini kemajuan boleh diukur dan pengawasan Parlimen lebih kukuh.

LKAN terkini yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu merangkumi penyata kewangan 2024 dan penelitian aktiviti kementerian, jabatan serta badan berkanun persekutuan, selain kementerian, jabatan, agensi dan syarikat milik kerajaan negeri.

Beberapa agensi persekutuan, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, dibangkitkan kerana salah nyata kewangan dan transaksi tidak teratur.

Laporan itu turut merangkumi audit program berimpak tinggi, termasuk projek MyDigital ID di bawah Mimos Bhd, di mana juruaudit mendapati kira-kira RM28.13 juta dibelanjakan tanpa pengesahan awal jawatankuasa pengawasan projek ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.