Teresa Kok rugi RM2,000 kereta dipecah

Teresa Kok rugi RM2,000 kereta dipecah

Kejadian berlaku ketika pemimpin DAP itu berjoging semalam.

Teresa Kok kereta pecah
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail selepas keretanya dipecah semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membuat laporan polis semalam selepas kenderaannya dipecah ketika beriadah di Taman Persekutuan Bukit Kiara, menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,000.

Pemimpin DAP itu berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang ketika beliau berjoging.

“Apabila saya kembali ke kereta pada 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan. Beg tangan yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang.

“Saya hilang kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting lain,” katanya di Facebook.

Difahamkan, laporan dibuat Kok di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.

Susulan itu, beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara bagi mengekang kes jenayah yang kerap berlaku di situ.

“Ini dapat memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.