Ahli Parlimen ragu-ragu undang-undang antilompat, kata bekas speaker

Ahli Parlimen ragu-ragu undang-undang antilompat, kata bekas speaker

Segelintir Ahli Parlimen bimbang undang-undang sebegitu mudah dipinda atau dimansuhkan, kata Azhar Azizan Harun.

Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, penggubal undang-undang perlu mengkaji semula undang-undang antilompat yang menurutnya hanya dalam bentuk asas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun percaya kelemahan dalam undang-undang antilompat negara berpunca daripada ‘keraguan’ dalam kalangan Ahli Parlimen tentang keberkesanan perundangan untuk membendung amalan itu.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan ialah ‘undang-undang utama’, Azhar berkata, ia hanya menyatakan dasar secara umum.

“Saya lebih suka jika satu proviso dimasukkan dalam Perkara (Perlembagaan) berkaitan kebebasan berpersatuan,” katanya kepada FMT.

“Proviso itu harus memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang menghalang Ahli Parlimen mengalih kesetiaan daripada parti yang menjadi tiket mereka menang (pilihan raya) kepada parti saingan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Azhar berkata, Ahli Parlimen ‘ragu-ragu’ hendak menggubal undang-undang sebenar berkait perkara tersebut dalam Akta Parlimen.

Katanya, kebimbangan utama mereka adalah undang-undang sebegitu mudah dipinda atau dimansuhkan pada bila-bila masa dengan hanya majoriti mudah di Parlimen.

Sebaliknya, undang-undang antilompat dalam bentuk pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga, menjadikannya lebih sukar untuk dipinda atau dimansuhkan, tambahnya.

“Akibatnya, kita hanya ada undang-undang asas. Kita perlu kajinya semula,” kata Azhar, yang berkhidmat sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum menjadi speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020.

Walaupun beliau mempengerusikan kelulusan pindaan Perlembagaan mewujudkan Perkara 49A, Azhar berkata, bukan tempatnya untuk menzahirkan pandangannya mengenai perkara itu.

“Speaker tiada hak untuk menyuarakan pendapat,” katanya.

Azhar berkata, kelemahan dalam undang-undang antilompat perlu diatasi segera untuk mengelakkan berulangnya insiden enam Ahli Parlimen mengumumkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa berhenti menjadi ahli Bersatu.

Pada 2 Mac, Bersatu meminda perlembagaan partinya menghendaki keahlian wakil rakyatnya ditamatkan secara automatik jika melanggar arahan parti.

Situasi itu mengakibatkan perselisihan antara parti dan Ahli Parlimen yang menunjukkan tentangan, menegaskan mereka masih ahli parti.

Azhar pada Ahad menyatakan rasa tidak senangnya dengan cara undang-undang antilompat digubal pada 2022.

Dalam temu bual dengan hos audio siar Wan Saiful Wan Jan, Azhar berkata, undang-undang antilompat digubal dengan tergesa-gesa tanpa mengambil kira pelbagai senario yang mungkin berlaku.

Katanya, beliau telah menyatakan keraguannya mengenai undang-undang baharu yang dicadangkan itu kepada beberapa Ahli Parlimen.

Walaupun mereka mendengar aduannya itu, kata Azhar, ‘beliau tidak pasti apa yang mereka lakukan selepas itu’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.