Halim Saad rayu hidup semula saman berkait pegangan Renong

Halim Saad rayu hidup semula saman berkait pegangan Renong

Notis rayuan difailkan pada 11 Jun lepas selepas saman itu dibatalkan Mahkamah Tinggi bulan lepas.

Ahli perniagaan Halim Saad merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap Dr Mahathir Mohamad, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan bulan lepas.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan Halim Saad memohon Mahkamah Rayuan agar menghidupkan semula samannya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi individu berhubung pengambilalihan pegangannya dalam Renong-UEM Group oleh kerajaan.

Peguam A Surendra Ananth berkata, notis rayuan difailkan pada 11 Jun lepas.

“Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes secara dalam talian pada 9 Sept dan telah mengarahkan pihak-pihak memfailkan rekod rayuan,” katanya.

Pada 14 Mei, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhammad Said membatalkan saman Halim kerana menurutnya, ia difailkan melebihi tempoh masa yang diperuntukkan, dan perkara tuntutan itu sudah diputuskan dalam kes sebelum ini.

Mahkamah juga memerintahkan Halim membayar kos RM10,000 kepada defendan, iaitu Mahathir, bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Jabatan Peguam Negara, yang mewakili ketiga-tiga defendan, berhujah bahawa Halim tidak boleh meneruskan kes ini kerana ia perlu difailkan dalam tempoh masa yang diperuntukkan, menurut Akta Had Masa Tindakan 1953 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Para defendan berkata, Halim memfailkan tuntutan serupa di Mahkamah Tinggi lebih 10 tahun lepas, yang juga dibatalkan, untuk menampung kerugian yang didakwa dialaminya susulan pengambilalihan itu.

Dalam saman yang difailkan tahun lepas, Halim mendakwa, Mahathir dan Nor Mohamed ‘memaksanya’ melepaskan pegangan dalam Renong-UEM Group, berserta semua hak yang ada padanya, tanpa pampasan mencukupi, lebih 22 tahun lepas.

Mahathir merupakan perdana menteri dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Dalam penyataan tuntutannya, Halim mendakwa, Mahathir dan Nor Mohamed menjadi ‘penggerak utama pemerolehan dan pelucutan hak tersebut’.

Pegangan itu dikatakan terdiri daripada 372 juta saham dan mewakili 16% daripada keseluruhan modal saham Renong Bhd.

Halim mendakwa saham-saham itu, yang diperoleh Khazanah Nasional Bhd menerusi anak syarikat pada 2001, milik peribadinya, bukan Umno. Fakta itu diperakui oleh Anwar Ibrahim, ketika itu timbalan Mahathir, menteri kewangan dan timbalan presiden Umno, di Parlimen pada 24 Nov 1997.

Halim mendakwa UEM kemudiannya memegang 32.6% kepentingan dalam Renong, manakala Renong memegang 37.92% saham dalam UEM.

Saman itu menuntut amaun yang tidak dinyatakan sebagai pampasan atau sebagai alternatif, ganti rugi am, teruk dan teladan untuk dinilai oleh mahkamah, berserta faedah dan kos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.