Telur semua gred turun 3 sen

Telur semua gred turun 3 sen

Perdana menteri berkata, kerajaan menampung subsidi sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam yang membabitkan perbelanjaan RM100 juta.

Harga telur ayam gred A, B dan C kini 42 sen, 40 sen serta 38 sen sebiji.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan harga telur ayam gred A, B dan C diturunkan 3 sen sebiji di seluruh negara mulai hari ini.

Ini bermakna harga runcit telur gred A, B dan C kini 42 sen, 40 sen serta 38 sen sebiji.

Beliau berkata, harga telur di Sabah, Sarawak dan Labuan akan diselaraskan mengikut bahagian serta zon.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada 2023 peruntukan subsidi telur ayam sebanyak RM927 juta,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, penurunan harga telur ayam selaras usaha kerajaan mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sektor lain.

Menurutnya, kerajaan kekal komited menangani penyeludupan diesel dan berusaha mengimbanginya dengan bekalan serta kos sara hidup rakyat.

“Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat selayaknya.

“Malah, kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat.”

Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga diesel dinaikkan daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia mulai 10 Jun lalu. Harga diesel akan diumumkan setiap minggu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Susulan penyasaran subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan program bantuan subsidi Madani atau Budi Madani bagi golongan individu, petani, pekebun kecil serta syarikat dan kenderaan pengangkutan.

Di bawah inisiatif itu, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel persendirian kategori B40 akan menerima bantuan tunai bulanan RM200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.