Penyasaran subsidi tak jejas bekalan telur

Penyasaran subsidi tak jejas bekalan telur

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi.

telur ayam
Kerajaan mengumumkan kadar subsidi untuk telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei lalu sebelum dihentikan sepenuhnya 1 Ogos ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, walaupun kadar subsidi dikurangkan lima sen sejak 1 Mei lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata situasi itu membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.

“Malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei lalu sebelum dihentikan sepenuhnya 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi serta terjamin.

Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi terlalu lama tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Langkah penyasaran semula subsidi telur itu sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan penggunaan dana subsidi lebih berkesan serta menggalakkan pengeluaran makanan tempatan yang mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.